
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata beliau dimaklumkan bahawa terdapat permohonan pemberian elaun dalam kalangan sukarelawan bawah kategori lain yang tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2023 sebelum ini.
“Antaranya termasuklah, pertama sukarelawan wataniah, kedua sukarelawan angkatan tentera dan ketiga sukarelawan maritim (APMM).
“Ketiga-tiga kategori ini akan dimasukkan dalam bantuan kewangan Aidilfitri sukarelawan,” katanya selepas beramah mesra bersama peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam.
Terdahulu, Anwar mengumumkan pemberian bantuan khas tersebut kepada lebih 200,000 anggota Jabatan Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba, ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua, di Dewan Negara.
Katanya, setiap anggota akan menerima bantuan tunai RM300.
“Selepas diteliti, ada kategori yang tidak dapat manfaat yang sama membabitkan mereka dalam kalangan bukan pekerja tetap iaitu sukarelawan sama ada Rela, APM, sukarelawan polis, dan sukarelawan bomba.
“Mereka ini juga menghadapi masalah, maka saya bersetuju untuk berikan saguhati sebanyak RM300 bagi setiap sukarelawan. Bagaimanapun, saguhati ini tidak termasuk polis bantuan,” katanya.