
Menurut laporan Bernama, Anwar berkata Malaysia mengekalkan hubungan yang baik dan konstruktif dengan negara-negara utama seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Iran, selain memainkan peranan sebagai perantara dalam menyampaikan kebimbangan negara Teluk dan dunia Arab susulan ketegangan yang berterusan.
“Kita kini berhubung dengan lebih banyak negara. Keutamaan saya, mandat yang saya pegang, adalah untuk melindungi kepentingan rakyat negara ini,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Pemimpin Australia itu sedang melakukan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia dari 15 hingga 17 April.
Anwar berkata Malaysia kekal konsisten mempertahankan prinsip kebebasan pelayaran, khususnya di laluan maritim penting seperti Selat Melaka dan Selat Hormuz.
Beliau berkata Malaysia mengakui keperluan untuk menangani isu keselamatan yang timbul akibat konflik berterusan, namun menegaskan bahawa keamanan serta kelancaran aliran perdagangan global tidak boleh diganggu.
“Walaupun kita menyokong kebebasan pelayaran, kita juga mahukan jaminan jelas daripada semua negara, termasuk kuasa besar, supaya menghentikan permusuhan, serangan dan sekatan terhadap pihak lain,” katanya.
“Akhirnya, kita mahukan keamanan, dan Selat Hormuz mesti kekal terbuka kepada komuniti antarabangsa.”
Sementara itu, Albanese menyifatkan Australia sebagai rakan dagang yang “boleh dipercayai dan konsisten”, sambil menegaskan pematuhan negaranya terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) sebagai asas penting dalam hubungan antarabangsa.
Di bawah UNCLOS, laluan melalui selat antarabangsa sepatutnya bersifat terbuka dan tidak mendiskriminasi mana-mana pihak.
“Kami menjangka kebebasan pelayaran menjadi asas kepada perdagangan antarabangsa, dan itu adalah prinsip yang sangat penting yang kami pegang,” kata Albanese.
Sekatan oleh Amerika Syarikat telah menjejaskan lagi pergerakan kapal di Selat Hormuz sejak beberapa hari lalu, selepas Iran bertindak menutup selat itu susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap negara itu pada akhir Februari.
Laluan strategik itu lazimnya mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak mentah dunia serta gas asli cecair.
Iran dilaporkan menuntut hak untuk mengenakan bayaran tol sebagai syarat bagi menamatkan konflik.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad mengumumkan sekatan terhadap kapal yang keluar masuk pelabuhan Iran selepas rundingan damai hujung minggu di Islamabad antara Amerika Syarikat dan Iran gagal mencapai persetujuan.