Kerajaan semarak agenda perkasa usahawan Bumiputera

Kerajaan semarak agenda perkasa usahawan Bumiputera

Kerajaan menetapkan sasaran pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan sehingga RM2 bilion.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata kerajaan tekad mengangkat martabat ekonomi Bumiputera ke tahap lebih mapan dan berdaya saing.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan beriltizam untuk mendukung dan menyemarak agenda memperkasakan usahawan Bumiputera sebagai wahana yang berdaya hasil dan berteraskan pencapaian yang membanggakan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Melalui pengukuhan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC), kerajaan menetapkan sasaran lebih berani — meningkatkan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga RM2 bilion.

Selain itu, menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu dan membimbing melahirkan jaguh Bumiputera yang berupaya mencapai nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

“Ini bukan sekadar angka tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi Bumiputera kepada tahap yang lebih mapan dan berdaya saing,” kata Anwar di Facebook.

Beliau berkata pendekatan strategik yang digerakkan harus bersifat menyeluruh, daripada memperkukuh perusahaan dan syarikat sedia ada yang berdaya tahan hinggalah membuka ruang kepada penyertaan dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi tinggi.

“Kejayaan jenama seperti SERAI dan GlocAI memperlihatkan bahawa apabila ekosistem yang tepat disediakan, usahawan Bumiputera mampu berdiri setara, malah unggul dalam landskap ekonomi moden,” kata beliau.

Pada masa sama, akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan dan peluang komersial terus diperluas sebagaimana yang dinikmati oleh syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque yang menjadi bukti bahawa tata laksana yang inklusif mampu melahirkan legasi keusahawanan yang mampan.

Beliau berkata kerajaan mendengar, menilai dan akan terus memperhalusi pendekatan sedia ada supaya setiap dasar yang digerakkan benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.

“Walhasil, dengan iltizam kolektif serta kepemimpinan yang berprinsip, kita yakin bahawa agenda keusahawanan Bumiputera akan terus berkembang, bukan sahaja sebagai tonggak ekonomi negara, malah sebagai manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan yang madani,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.