Pemimpin Amanah berhak bersuara, namun tetap terikat keputusan parti

Pemimpin Amanah berhak bersuara, namun tetap terikat keputusan parti

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, perkara itu sudah menjadi amalan biasa dalam mana-mana organisasi .

Mohamad Sabu berkata setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan namun dalam konteks organisasi ia tidak mewakili parti melainkan keputusan rasmi diputuskan dalam mesyuarat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemimpin Amanah berhak menyuarakan pandangan mereka sebagaimana hak dinyatakan dalam perlembagaan namun ia masih terikat dengan keputusan parti, kata presidennya Mohamad Sabu.

Beliau berkata amalan itu merupakan “normal practice” atau amalan biasa dalam mana-mana organisasi parti politik.

Mohamad tampil membuat penjelasan itu ditengah-tengah pergeseran pandangan antara pemimpin Amanah dan Umno berhubung permohonan pengampunan diraja kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau berkata, dalam isu melibatkan pengampunan Najib kuasa tertinggi yang berhak membuat keputusan adalah Yang di-Pertuan Agong.

“Maka semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, walaupun pemimpin Amanah dan Umno mempunyai pandangan berbeza berhubung keputusan pengampunan Najib, ia tidak bermakna pandangan itu membawa kepada perpecahan kerajaan perpaduan yang dibentuk bersama.

“Semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada kerajaan perpaduan dan kerajaan perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan,”katanya.

Katanya, setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan, namun dalam konteks organisasi ia tidak mewakili parti melainkan keputusan rasmi diputuskan dalam mesyuarat.

Semalam, Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah berkata pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas presiden Umno itu ditolak.

Kenyataan Khalid itu mendapat kritikan pemimpin Umno, termasuk ugutan memutuskan hubungan kerjasama politik antara dua parti berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.