Agihan kerusi BN-PH dijangka selesai dalam masa terdekat, kata Asyraf

Agihan kerusi BN-PH dijangka selesai dalam masa terdekat, kata Asyraf

Setiausaha agung Umno berkata rundingan kerusi bagi enam negeri bakal mengadakan pilihan raya adalah positif.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan semua Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan hari ini masih utuh dan kekal.
KUALA LUMPUR:
Proses pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri dijangka selesai dalam masa terdekat, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

“Pembahagian kerusi sedang berjalan dan amat positif. Dalam masa terdekat ini kita boleh selesaikan dan setakat hari ini nampak kerjasama untuk enam PRN antara PH dan BN amat baik sekali.

“Meskipun semua ada pertindihan sebab sebelum ini BN bertanding lawan PH, tetapi perbincangan sedang berjalan. Saya menerima laporan yang boleh kita katakan amat positif dan membina,” katanya pada sidang media Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Menurut Asyraf, konvensyen nasional kerajaan perpaduan yang dianjurkan 14 Mei ini bakal menghimpunkan lebih 10,000 perwakilan dan penyokong daripada 19 parti politik yang membentuk kerajaan.

“Konvensyen ini akan menjadi titik tolak kepada mewujudkan kesefahaman dan kolaborasi lebih kukuh di peringkat parti, dengan matlamat jelas bagi memastikan kestabilan politik dapat terus dipertahankan.

“Kita tak mahu lagi peristiwa lampau berulang. Cukuplah dalam empat tahun setengah ketidakstabilan politik, kerajaan berubah tiga kali yang memedihkan rakyat dari segi pelaburan, ekonomi dan sebagainya,” katanya.

Sokongan gabungan perpaduan utuh

Dalam pada itu, susulan dakwaan kegoyahan sokongan terhadap kepimpinan sedia ada, Asyraf menegaskan semua Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan masih utuh dan kekal menjalankan rundingan sesama mereka sehingga hari ini.

“148 Ahli Parlimen yang menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan perpaduan masih lagi kekal kukuh dan yang paling penting ialah medan perbincangan sentiasa berjalan, bukan setiap bulan, tetapi setiap minggu.

“Kita bukan ‘one man show’, tidak ada parti yang mendominasi parti lain, kita membentuk saling sentiasa ada ruang. Biasalah orang yang tidak senang dengan kekuatan yang ada ini sebenarnya cemburu kerana tidak dapat bentuk kerajaan lebih awal,” katanya.

Timbul spekulasi konon wujud komplot menjatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas dilaporkan bahawa 10 Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin selepas PRU15 merancang memaksa pilihan raya kecil diadakan.

Mereka dikatakan merancang keluar parti, sekali gus menyebabkan kerusi dikosongkan, menurut undang-undang anti-lompat parti.

Pemimpin Bersatu Faiz Na’aman menghangatkan lagi spekulasi dengan berkias menerusi catatannya di Facebook: “126 dah…jika benar, Alhamdulillah.”

Faiz kemudian berkata, beliau tidak dapat mendedahkan apa-apa, tetapi meminta penyokongnya “tunggu dan lihat”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.