
Bekas perdana menteri berusia 97 tahun itu menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta.
Mahathir mendakwa kenyataan itu dibuat Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri, oleh itu ia mempunyai kesan lebih teruk terhadapnya berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa.
Katanya, dakwaan itu menjatuhkan imejnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.
Beliau mahu Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah terhadapnya yang disiarkan dalam media massa dan media sosial.
Katanya, kenyataan fitnah Anwar itu bertujuan menjatuhkan imejnya kerana ia dilihat dan didengar oleh orang ramai.
Mahathir juga mahu Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan berjanji tidak akan mengulangi kenyataan sama pada masa depan.
Saman itu difailkan Rabu lalu oleh peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali bersama perakuan segera supaya ia didengar dan diselesaikan segera.
Katanya, perkara itu adalah kepentingan awam kerana enam negeri dijangka mengadakan PRN tidak lama lagi.
Rafique berkata, kertas kausa sudah diserahkan kepada peguam Anwar, Thomas Philip, pada hari ia difailkan.
Pengurusan kes itu ditetapkan pada 31 Mei ini.
Anwar dalam Kongres PKR pada 18 Mac lalu, tanpa menyebut nama Mahathir, merujuk tempoh seorang bekas bosnya menerajui kerajaan.
Mahathir dilantik sebagai perdana menteri selama 22 tahun antara 1981 hingga 2003 dan sekali lagi selama 22 bulan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.
Anwar menganggotai Kabinet pimpinan Mahathir dari 1983 sehingga beliau dipecat dari Umno dan kerajaan pada 1998.
Mahathir berkata, beliau memperjuangkan hak orang Melayu dan kaum lain sebagai penulis dalam sebuah akhbar sebelum merdeka dan beliau terus berbuat demikian ketika berkuasa.
“Kenyataan defendan (Anwar) kononnya plaintif (Mahathir) hanya membincangkan soal rakyat setelah kehilangan kuasa adalah tidak benar atau berunsur fitnah,” menurut pernyataan tuntutan yang dilihat FMT.
Mahathir berkata, dakwaan Anwar kononnya beliau membolot harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya bermakna “kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya”.
“Hakikatnya, semua anak plaintif adalah individu berjaya dalam perniagaan tanpa campur tangan plaintif dan/atau salah guna kuasa plaintif sebagai perdana menteri.”
Mahathir turut menolak dakwaan beliau merancang menggugat ketenteraman awam dan menjatuhkan kerajaan semasa dengan mengumpul individu mempunyai pengaruh dan kuasa.
“Kenyataan defendan tersebut jelas sekali bersifat fitnah bertujuan meyakinkan masyarakat umum bahawa plaintif mempunyai niat untuk mengganggu gugat ketenteraman awam.”
Beliau berkata, Anwar turut melabelkannya “rasis” yang merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab.
“Perkataan ‘scoundrel’ daripada kenyataan defendan adalah tohmahan yang memberikan imej buruk bahawa plaintif adalah individu berniat jahat.”
Mahathir berkata, Anwar turut membuat kesimpulan beliau menyalahgunakan kuasa dan takut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta didakwa.
Beliau turut menafikan dakwaan Anwar kononnya beliau “kaya berbilion-bilion” tidak membayar cukai dan memindahkan wang ke luar negara.
Katanya, kenyataan itu adalah andaian atau khabar angin daripada media tempatan atau luar negara.
Mahathir berkata, beliau hanya menggunakan wang yang diperolehi daripada gaji dan elaun sebagai menteri dan perdana menteri.