
Bercakap dalam siri podcast Keluar Sekejap, beliau berkata Ketua Menteri Chow Kon Yeow gagal merungkai kebimbangan pelbagai pihak berkepentingan khususnya nelayan dan NGO alam sekitar berhubung projek itu, dengan tidak memberi penjelasan sebaiknya.
“Contoh apabila ditanya apakah 71 syarat yang dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar, Chow kata butiran semua ada dalam website, boleh rujuk di sana. Boleh baca. Laporan itu setebal 1,000 muka surat lebih, ia sangat teknikal, sebagai orang biasa saya percaya mereka kurang faham,” kata bekas pemimpin Umno itu.
Khairy berkata, Chow seharusnya mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, bukan hanya lepas tangan dan bersikap angkuh.
“Cara dia jawab mungkin akan ada kesan dalam PRN nanti,” katanya.
Kerajaan Pulau Pinang hari ini menyiarkan 71 syarat dikenakan JAS dalam kelulusan bersyarat yang diberikan untuk PSI.
Syarat itu diterbitkan di laman sesawang Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang (PIC).
Khairy juga menjangkakan PN diketuai Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, mempunyai kepakaran untuk menggunakan isu PSI sebagai strategi kempen bagi menawan tujuh atau lapan DUN kerusi majoriti Melayu khususnya di tanah besar.
“Isu ini klasik, ia akan berterusan (dimainkan) jika kerajaan pusat tidak selaraskan (campur tangan),” katanya.