PM digesa libatkan diri dengan mangsa, bendung masalah pemerdagangan orang

PM digesa libatkan diri dengan mangsa, bendung masalah pemerdagangan orang

Dengan cara ini, Anwar Ibrahim boleh mengenal pasti ejen yang mengaut keuntungan daripada kegiatan itu, kata aktivis.

Kerajaan digesa agar menggiatkan usaha menangani pemerdagangan pekerja asing ke negara ini.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus melibatkan dengan mangsa pemerdagangan orang dan buruh paksa bagi menangani kedudukan Malaysia pada Tahap 3 dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (TIP), kata seorang aktivis hak asasi migran.

Pengarah Eksekutif North-South Initiative (NSI) Adrian Pereira berkata, dengan melibatkan diri secara peribadi dengan mangsa pemerdagangan, Anwar boleh mengenal pasti ejen yang mengaut keuntungan daripada pengambilan pekerja asing.

Katanya, Malaysia tidak dapat mengawal majikan dan pembekal buruh yang memperdagangkan pekerja ke negara ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan komited untuk meningkatkan kedudukan Tahap 3 negara dalam laporan TIP tahun lepas.

Pada 2017, Malaysia diletakkan pada Tahap 2, bermakna walaupun negara tidak mematuhi piawaian minimum AS, usaha yang ketara telah dibuat.

Bagaimanapun, kedudukan negara jatuh ke Senarai Amatan Tahap 2 dari 2018 hingga 2020.

Ini bermakna, walaupun kerajaan telah melakukan usaha ketara bagi mematuhi piawaian minimum, negara menghadapi jumlah ketara mangsa atau kegiatan pemerdagangan orang yang meningkat.

Malaysia jatuh ke kedudukan terendah, iaitu Tahap 3, pada 2021 dan 2022.

Laporan TIP menggambarkan negara yang berada pada Tahap 3 sebagai tidak patuh dan tidak melakukan usaha yang ketara untuk mematuhi piawaian minimum bagi menangani pemerdagangan orang.

“Beliau (Anwar) mesti turun padang dan berjumpa dengan pekerja … di situ wujudnya jejak kertas,” kata Pereira.

“Saya pasti majikan dan ejen akan dapat menjelaskan siapa individu yang mendapat sogokan (berhubung kegiatan pemerdagangan orang), di dalam mahupun luar kerajaan.”

Beliau berkata, kesan negatif terbesar pemerdagangan orang dan buruh paksa di negara ini adalah terhadap rakyat Malaysia sendiri.

“Selagi syarikat dan ejen mengambil kesempatan ke atas pekerja asing atau mangsa pemerdagangan, faedah am semua pekerja akan terjejas,” katanya.

“Kita akan terjebak dalam perangkap pendapatan pertengahan kerana kita menjadi negara yang bergantung kepada gaji rendah dan tidak akan dapat naik taraf kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, pentadbiran pimpinan Anwar harus menjadikan usaha menangani pemerdagangan orang sebagai keutamaan, selaras dengan konsep Malaysia Madani.

Katanya, perjalanan Malaysia masih “jauh” untuk keluar daripada kedudukan Tahap 3 dalam laporan TIP.

“Anda perlu menunjukkan dengan cara yang sistematik bahawa anda mempunyai rancangan yang boleh dilaksanakan, yang menunjukkan peningkatan dalam penguatkuasaan dan bilangan kes pemerdagangan orang yang dibawa ke mahkamah.

“Kita perlu usaha bersepadu daripada pihak kerajaan, untuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia bekerjasama, bagi memastikan ada mekanisme di setiap titik,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.