Rasuah, penguatkuasaan lemah jadi halangan perdagangan di Malaysia, Asia Tenggara

Rasuah, penguatkuasaan lemah jadi halangan perdagangan di Malaysia, Asia Tenggara

Sindiket jenayah mengambil kesempatan atas kegiatan rasuah dan penguatkuasaan yang lemah untuk mengembangkan perusahaan, kata Philip Thompson daripada Tholos Foundation.

Malaysia dikaitkan dengan perdagangan haram rokok, minyak sawit, produk perhutanan dan hidupan liar, menurut Philip Thompson daripada Tholos Foundation. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kelaziman rasuah dan penguatkuasaan yang lemah di sempadan dan hab logistik kekal menjadi cabaran bagi aktiviti perdagangan di Malaysia dan Asia Tenggara, kata sebuah badan pemikir berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Malaysia dikaitkan sebagai sumber untuk perdagangan haram bagi segala-galanya, daripada rokok kepada minyak sawit, produk perhutanan, hidupan liar dan banyak lagi,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan kehilangan lebih RM15 bilion hasil antara 2018 dan 2020 akibat kegiatan penyeludupan rokok.

Menurut Kajian Rokok Haram oleh firma analisis Nielsen, rokok haram menyumbang 56.6% daripada rokok yang dijual di negara ini tahun lalu.

Sementara itu, Jabatan Kastam merampas barangan terlarang berkaitan hidupan liar dianggarkan bernilai kira-kira RM73.4 juta tahun lalu.

Thompson berkata, kerajaan boleh melaksanakan rejim penguatkuasaan perdagangan lebih ketat, dan memuktamadkan rundingan perdagangan dengan rakan kongsi mengenai penguatkuasaan bersama atau perkongsian maklumat dan penyelarasan bagi membendung aktiviti perdagangan haram.

Langkah ini akan membantu meningkatkan kemudahan perdagangan Malaysia, katanya.

Beliau berkata, pada masa akan datang, Malaysia mempunyai pilihan sama ada meneruskan liberalisasi pendekatannya terhadap perdagangan global atau mencontohi negara jiran serantau dalam melaksanakan halangan perdagangan digital dan strategi perindustrian bersifat populis.

Jika Malaysia memilih untuk terus meliberalisasikan pendekatannya terhadap perdagangan, katanya, beberapa pembaharuan kepada sekatan perkhidmatan diperlukan bagi menunjukkan bahawa negara terbuka kepada perniagaan asing yang bersaing dalam sektor utama seperti perbankan dan telekomunikasi.

Kerajaan juga harus membenarkan pelbagai perkhidmatan profesional, seperti audio visual, beroperasi di negara ini bagi meningkatkan skor Indeks Halangan Perdagangan.

Malaysia menduduki tempat ke-53 daripada 90 negara dalam Indeks Halangan Perdagangan 2021, dan tempat ke-4 daripada 14 negara di rantau ini.

Thompson juga memberikan peringatan kepada Malaysia dan negara lain yang berunding dengan AS mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik.

Amerika mungkin menawarkan banyak insentif semasa rundingan tetapi tiada yang menghalangnya daripada lambat-laun cuba mengembalikan pengeluaran ke negaranya, katanya.

“Mana-mana negara yang berunding dengan AS perlu meluangkan lebih masa untuk mengkaji kelemahan (rangka kerja itu) dan bagaimana ia akan dikuatkuasakan.”

Indeks Halangan Perdagangan 2023 akan dilancarkan pada 10 Mei di Sidang Kemuncak Inovasi Asia Tenggara 2023, anjuran Pusat Pendidikan Pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.