Sng dilantik pengerusi lembaga perindustrian kayu

Sng dilantik pengerusi lembaga perindustrian kayu

Presiden PBM itu menyertai senarai ahli politik yang dilantik mengetuai agensi kerajaan bawah pentadbiran Anwar Ibrahim.

Larry Sng pernah berkhidmat sebagai pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Lembaga Lada Malaysia.
PETALING JAYA:
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng dilantik sebagai pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Melalui catatan di Facebook PBM, parti itu mengucapkan tahniah kepada Sng, yang juga Ahli Parlimen Julau atas pelantikannya.

Laman sesawang MTIB, badan berkanun bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi, turut menyenaraikan Sng sebagai pengerusinya.

Ditubuhkan pada 1973, MTIB ditugaskan untuk menggubal dasar dan strategi bagi membangunkan industri perkayuan negara supaya berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sng, 43, juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Lada Malaysia (MPB).

Beliau ialah ahli politik terbaru dilantik mengetuai agensi kerajaan bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Selasa lalu, bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Reezal Merican Naina Merican dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Pada Mac, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai pengerusi Mara, dan Ahli Parlimen Balik Pulau Bakhtiar Wan Chik, daripada PKR, dilantik sebagai pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Bekas Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub juga dilantik semula sebagai pengerusi Felcra pada Mac.

Warganet dan kumpulan sivik menegaskan bahawa pelantikan politik itu tidak konsisten dengan desakan Anwar ke arah reformasi dan tadbir urus yang baik.

PBM antara parti yang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, membolehkannya mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.