
Beliau berkata, cadangan dan syor menangani masalah itu dikemukakan pertubuhan masyarakat sivil kepada kerajaan sekian lama, namun tiada sebarang pembaharuan digubal.
Gomez, yang juga pengerusi Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), berkata kerajaan tidak perlu membuang masa mewujudkan sesuatu yang sudah ada, sebaliknya hanya perlu mengambil apa yang telah dicadangkan sebagai pembaharuan perundangan.
Bagaimanapun, beliau meragui pembaharuan yang diperlukan akan dilaksanakan tidak lama lagi berdasarkan keadaan politik semasa.
“(Ramai) pemimpin (politik) yang telah mengambil alih kuasa bercakap tentang menangani rasuah dan memutuskan hubungan antara politik dan perniagaan untuk menamatkan masalah kronisme ini,” kata Gomez, bekas profesor ekonomi yang menulis secara meluas tentang ekonomi politik Malaysia.
“Ini tidak berlaku kerana hubungan antara politik dan perniagaan ini, yang memudahkan aliran wang daripada sektor korporat serta GLC ke dalam sistem politik, penting dalam tempoh ini apabila ahli politik dan parti berbeza cuba menyatukan kuasa,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, hubungan rapat antara perniagaan dan politik terbukti daripada kes mahkamah membabitkan ahli politik berprofil tinggi, seperti bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng, yang kedua-duanya menghadapi pertuduhan rasuah.
Gomez berkata, kedudukan tinggi Malaysia dalam indeks kapitalisme kroni “Economist 2023” tidak mengejutkan kerana tiada usaha berterusan atau bersepadu bagi menghapuskan kronisme.
Malaysia menduduki tempat ketiga di belakang Rusia dan Republik Czech dalam indeks yang dikeluarkan Selasa lalu. Akhbar mingguan yang berpangkalan di UK itu berkata, kekayaan jutawan Malaysia menyumbang satu persepuluh daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 negara.
Beliau berkata, kronisme menjadi ciri dalam politik dan ekonomi Malaysia sejak 1980-an.
Ramon Navaratnam, bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan, berkata kegagalan menghapuskan kronisme akan menimbulkan kesan serius, seperti kemerosotan dalam pelaburan domestik dan asing.
Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa untuk menyiasat sesiapa saja yang disyaki rasuah dan penambahbaikan dalam amalan tadbir urus, serta prosedur tender.
Beliau turut menggesa Putrajaya menghapuskan oligopoli dan monopoli untuk meningkatkan daya saing pasaran.