
Sumber SPRM berkata, perjanjian itu dikatakan dimeterai secara tergesa-gesa tanpa persetujuan Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).
Menurutnya, beberapa individu turut dikatakan diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing itu selepas berhenti daripada Kementerian Ekonomi.
“Beberapa saksi termasuk KSU kementerian dijangka dipanggil bagi menjelaskan pelaksanaan perjanjian ini,” katanya menurut Berita Harian.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan perkara itu, tetapi enggan mengulas lanjut.
SPRM melancarkan siasatan itu susulan beberapa aduan oleh pertubuhan bukan kerajaan berhubung perjanjian yang didakwa dimeterai secara tergesa-gesa dan berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kepada kerajaan.
Sebelum ini, bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan mendakwa kontroversi berhubung perjanjian dengan Arm Holdings, gergasi semikonduktor global, bertujuan memfitnahnya.