
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, dalam kenyataan berkata Azam dipanggil bagi menjelaskan pemilikan 17.7 juta saham dengan harga belian RM1.416 juta dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.
Katanya, berdasarkan laporan awal diterima, jawatankuasa sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham berkenaan oleh Azam.
“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang telah diperoleh serta akan memanggil saksi-saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadap perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional.
“Hasil siasatan serta syor untuk pertimbangan tindakan lanjut akan diangkat kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya, memaklumkan ia termasuk jika didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap undang-undang jenayah atau peraturan.
Semalam, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata beberapa individu akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham Azam.
Khalid berkata, pihaknya menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan daripada pihak berkaitan
Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.
Perkara itu dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.
Azam dalam kenyataan berkata, beliau tiada perkara untuk disembunyikan dan membuat pengisytiharan kewangan serta harta selaras peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa dan melalui saluran rasmi.
Kelmarin, Azam memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg berhubung artikel berkenaan yang didakwa berunsur fitnah.