Lip Eng sahut cabaran, buat laporan polis terhadap Hadi

Lip Eng sahut cabaran, buat laporan polis terhadap Hadi

Ia susulan kenyatan presiden PAS mendakwa orang Melayu 'ditipu secara terang-terangan' dan bukan Melayu adalah 'penyakau terbesar'.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng membuat laporan polis terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mengulangi kenyataan terhadap orang bukan Melayu.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng menyahut gesaan pengerusi parti Lim Guan Eng supaya membuat laporan polis terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mengulangi dakwaan terhadap bukan Melayu.

Ia susulan hantaran di Facebook Hadi pada Selasa bahawa orang Melayu “ditipu secara terang-terangan” dan bukan Islam dan bukan Melayu adalah “penyakau terbesar”.

Lip Eng, yang juga Ahli Parlimen Kepong, membuat laporan terhadap presiden PAS itu di Balai Polis Kepong hari ini.

Beliau menggesa polis menjalankan siasatan terhadap kenyataan Hadi di bawah pelbagai seksyen undang-undang, termasuk Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Semalam, Guan Eng berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap Hadi, yang nampaknya sudah berani dengan sikap tidak bertindak kerajaan terdahulu berhubung kenyataannya sebelum ini.

Beliau menegaskan ini bukan kali pertama Hadi memilih bukan Islam dan bukan Melayu “kerana masalah dihadapi orang Melayu”.

Pada Ogos tahun lalu, Hadi juga telah meletakkan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca rasuah, berkata mereka adalah “majoriti terlibat dalam merosakkan politik dan ekonomi negara”.

Sekurang-kurangnya 28 laporan polis telah dibuat terhadap Hadi tahun lalu berhubung kenyataan itu, menyebabkan Bukit Aman memanggil Ahli Parlimen Marang itu untuk memberikan kenyataannya.

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan sedang dijalankan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.