
Beliau berkata, ubat itu milik bapa kanak-kanak terbabit untuk tujuan rawatan.
“Siasatan awal setakat ini memperlihatkan tidak ada unsur dengan sengaja, mungkin lebih kepada kecuaian,” katanya selepas Program Walkabout Langkah Selamat ‘Santuni Komuniti Kajang’ di Stesen MRT Stadium Kajang.
Rabu lalu, polis dilaporkan menahan seorang wanita 35 tahun selepas seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun maut, manakala dua adiknya berusia sembilan dan lima tahun dalam keadaan kritikal, dipercayai diberikan methadone oleh ibu kandung mereka.
Shazeli berkata, dua adik mangsa masih dirawat di hospital dan menunjukkan perkembangan positif.
Mengulas tindakan terhadap ibu bapa mangsa, beliau berkata, mereka dibebaskan dengan jaminan polis untuk menguruskan kebajikan keluarga.
Mengulas kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang, jelasnya, siasatan lanjut masih diteruskan selepas empat individu dibebaskan atas perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Ini isu pencerobohan dan keengganan berpindah keluar. Jangan dipolitikkan atau dimainkan sentimen agama dan kaum.”
Khamis lalu, polis menahan empat lelaki berusia 26 hingga 39 tahun dan merampas sebuah jengkaut susulan aduan seorang lelaki tempatan berhubung perobohan sebuah kuil tidak mengikut peraturan.
Dalam perkembangan lain, Shazeli berkata, seramai 3,100 anggotanya digerakkan bagi mempertingkatkan rondaan dan operasi pencegahan jenayah sempena Tahun Baharu Cina untuk memastikan keselamatan harta benda penduduk sentiasa terpelihara.
“Laporkan maklumat jenayah, aduan atau maklumat balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), mengisi borang di balai polis berhampiran atau hubungi bilik gerakan IPD.”