Lagi laporan polis terhadap Hadi

Lagi laporan polis terhadap Hadi

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, berkata kenyataan Hadi Awang berunsur perkauman yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian.

Syerleena Abdul Rashid menunjukkan laporan dibuat terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Balai Polis Jalan Patani, Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, menyertai rakan DAP membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkenaan dakwaannya berkait bukan Melayu.

Semalam, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, membuat laporan polis terhadap Hadi di Balai Polis Kepong, menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan Hadi bawah pelbagai peruntukan undang-undang.

Syerleena memberitahu FMT, beliau membuat laporan polis sekitar 1 tengah hari tadi, di Balai Polis Jalan Patani di George Town, Pulau Pinang.

“Saya mohon pihak polis menyiasat Hadi yang telah berulang kali membuat kenyataan-kenyataan semberono seperti ini yang berbaur perkauman,” katanya.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, pada Rabu menggesa rakyat membuat laporan polis terhadap Hadi kerana berulang kali mengenai kenyataan menyentuh orang bukan Melayu, yang disifatkan sebagai mengancam perpaduan.

Reaksi itu menyusuli kenyataan Hadi di Facebook bahawa kaum Melayu “ditipu secara terang-terangan” dan “bukan Melayu” paling besar dan banyak “penyakau”.

Syerleena mendakwa kenyataan Hadi merupakan fitnah jenayah serta berunsur perkauman yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian.

“Mungkin PAS terlupa dalam mana-mana demokrasi, perbahasan yang sihat dialu-alukan dan mesti dilakukan dengan fakta dan logik, bukannya menghina atau menakut-nakutkan orang,” katanya.

Syerleena yang juga Adun Seri Delima berkata, pihak berkuasa harus segera bertindak terhadap mana-mana orang yang membuat komen berbaur kebencian dan berkelakuan taksub.

“Sampai masanya rakyat menolak kebencian dan mengingatkan pentaksub bahawa Malaysia negara untuk semua dan kekal begitu tanpa mengira etnik dan agama anutan,” katanya.

Hadi pada Ogos tahun lalu mendakwa golongan paling besar merosakkan politik dan ekonomi majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.