PH-BN kahwin paksa? Bercinta 10 tahun lepas kahwin pun curang juga

PH-BN kahwin paksa? Bercinta 10 tahun lepas kahwin pun curang juga

Ketua Pemuda Umno Akmal Muhamad Akmal Saleh berkata lebih baik Umno/BN kahwin paksa bentuk kerajaan perpaduan pelbagai parti daripada bekerjasama dengan mereka yang tidak setia.

Ketua Pemuda Umno Akmal Muhamad Akmal Saleh berkata sudah sampai masanya parti-parti dalam kerajaan perpaduan melupakan permusuhan lama dan fokus kepada mencari persamaan. (Gambar facebook)
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh berkata tidak ada gunanya Umno dan Barisan Nasional (BN) bercinta lama dengan parti tertentu sebaliknya dicurangi selepas setahun berkahwin.

Katanya, lebih baik Umno dan BN berkahwin dengan parti lain secara paksa dalam membentuk kerajaan perpaduan merangkumi pelbagai parti berbanding bekerjasama dengan mereka yang tidak setia.

“Ada orang kata kita kahwin paksa, tapi saya nak beritahu nenek ayah, ibu kita dulu nak kahwin tak kenal pun sama sendiri, apa guna kalau duduk bercinta 10 tahun tapi tahun pertama kahwin lelaki curang buat apa,” katanya ketika berucap pada sesi dialog Konvensyen Pemuda Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Tanpa menamakan parti mana yang curang kepada Umno, namun ia dipercayai merujuk kepada kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

Selain pemimpin pembangkang yang menyifatkan kerjasama BN-PH dalam kerajaan perpaduan sebagai kahwin paksa, perkara sama turut dibangkitkan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Lupa permusuhan lama

Akmal berkata sudah sampai masanya parti-parti dalam kerajaan perpaduan melupakan permusuhan lama dan fokus kepada mencari persamaan dan berhenti bercakap soal extremis sepertimana diamalkan beberapa parti tertentu.

“Kita selalu cakap soal perbezaan, cakap soal ideologi tapi jarang cakap soal apakah persamaan antara kita, saya nak bagitahu pengalaman kita sebelum ini walaupun Ketua Pemuda PKR, Adam Adli dulu pernah turunkan bendera kita (Umno).

“Masa itu marahnya kita, kalau jumpa Adam Adli rasa nak siat-siat muka, tapi inilah kehebatan direncanakan Allah, bila kita bersama (dalam kerajaan perpaduan) hilang rasa marah bila jumpa Adam.

“Sampai masa orang muda kena tunjukkan gaya politik baharu, apa berlaku lepas-lepas sudah-sudahlah,” katanya.

Akmal berkata, sudah sampai masa untuk pemimpin pemuda kerajaan perpaduan menunjukkan sejarah politik baharu.

“Hari ini kita kena tunjukkan kepada rakyat sana bahawa orang muda dalam kerajaan perpaduan tidak lagi cakap soal extremis, kau orang sana aku orang sini, tapi kita kena cakap soal cari persamaan demi negara,” katanya.

Katanya, jika parti dalam gabungan hari ini mahu kerajaan perpaduan kekal, semua pihak perlu mengamalkan tiga perkara iaitu hormat menghormati, saling memahami dan percaya antara satu sama lain.

Mohon maaf kepada Amanah

Dalam pada itu, bagi menunjukkan semangat kerjasama dan perpaduan, Akmal turut membuat permohonan secara terbuka kepada Amanah susulan kritikan terhadap keputusan Kementerian Pertanian Makanan dan Keterjaminan Makanan yang dipimpin Presiden Amanah, Mohamad Sabu melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) menerajui agensi utama di bawah kementerian itu.

“Saya faham hari itu saya bangkang isu pelantikan GLC, untuk sahabat Amanah saya berbesar hati mohon maaf, saya nak beritahu kita tidak ada masalah kalau ada perbezaan, tapi mesti diuruskan dengan cara lebih baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.