
PBAPP berkata, pada jam 9 pagi hari ini, paras air di muka sauk Lahar Tiang mencecah 1.56m.
“PBAPP sedang berusaha untuk mengepam air mentah pada tahap maksimum daripada Sungai Muda. Pada masa yang sama, PBAPP juga terus melepaskan air daripada Empangan Mengkuang,” katanya dalam kenyataan.
PBAPP berkata, pengeluaran air terawat telah mencapai 100% (kira-kira 1,000 juta liter sehari) di loji rawatan air (LPA) Sungai Dua.
“Jumlah air terawat yang tinggi telah dipam keluar dari LPA Sungai Dua ke semua kawasan bekalan di Seberang Perai dan Pulau Pinang sejak sembilan jam lalu.
“PBAPP sedang mengoptimumkan semua operasi bekalan air dengan matlamat memulihkan sepenuhnya perkhidmatan bekalan air di seluruh Pulau Pinang. PBAPP akan terus kemaskini maklumat kepada pengguna-pengguna air,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan beberapa kawasan di Pulau Pinang akan mengalami gangguan bekalan air sehingga Rabu berikutan paras air Sungai Muda yang turun mendadak, mengakibatkan loji rawatan air utama tidak dapat mengeluarkan air terawat dalam kuantiti normal.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K Pathmanathan berkata beribu-ribu pengguna akan terjejas di tiga daerah Seberang Perai dan di bahagian selatan Pulau Pinang.
Beliau berkata paras air mentah di Lahar Tiang telah menurun sebanyak separuh kepada 1m berbanding 2m biasa. Akibatnya, PBAPP dapat mengabstrak air mentah daripada Sungai Muda, yang merupakan sumber utama air mentah di Pulau Pinang.
Beliau berkata PBA menyalurkan air dari Empangan Mengkuang untuk menyokong pengeluaran air terawat di Sungai Dua tetapi pengeluarannya yang terhad tidak mencukupi untuk menampung kekurangan itu.
Semalam, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata kegagalan sensor di baraj Sungai Muda menyebabkan air mengalir ke laut serta mengakibatkan gangguan bekalan air di Kedah dan Pulau Pinang.
Beliau berkata kegagalan sensor automatik di salah satu benteng di sungai Muda telah menyebabkan pintu air “terbuka sendiri”, yang membawa kepada pengaliran air dalam kuantiti yang banyak terus ke laut tanpa sekatan.
“Situasi ini menyebabkan paras Sungai Muda susut mendadak dan menjejaskan muka sauk beberapa loji rawatan air (LRA Sg Petani dan Pinang Tunggal) lalu menjejaskan bekalan air ke beberapa kawasan,” katanya.