Polis kenal pasti suspek seludup 336kg heroin ke Australia

Polis kenal pasti suspek seludup 336kg heroin ke Australia

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti modus operandi.

Polis Australia berkata dadah itu disembunyikan dalam blok konkrit yang diisytihar sebagai panel solar. (Australia Federal Police pics)
PETALING JAYA:
Polis mengenalpasti individu dan syarikat disyaki mempunyai kaitan kes penyeludupan 336kg heroin ke Australia baru-baru ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, siasatan masih lagi dijalankan bagi mengenalpasti modus operandi dan penglibatan syarikat berkaitan penghantaran itu.

“Melalui siasatan yang dijalankan, polis mendapati terdapat penglibatan ahli sindiket dari Malaysia yang mempunyai kaitan
langsung dengan penangkapan di Australia.

“Polis juga mengenalpasti syarikat dan individu yang mempunyai kaitan serta siasatan lanjut masih lagi dijalankan,” katanya menjawab Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah).

Pada 13 Mac lalu, polis Australia di Brisbane merampas heroin seberat 336kg dengan nilai pasaran RM790 juta. Ia dipercayai diseludup dari Pelabuhan Klang ke Brisbane.

Rampasan dadah itu adalah yang kedua terbesar dalam sejarah Australia.

Polis Australia berkata, dadah itu disembunyikan dalam dua blok konkrit setiap satunya seberat 500kg dan diisytihar sebagai panel solar dalam kontena melalui jalan laut.

Pihak berkuasa mengerudi blok konkrit itu dan mengeluarkan 960 paket yang mengandungi 350g heroin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa segera menyiasat kejadian itu yang dianggapnya memalukan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.