
“Saya ingin menegaskan jawapan yang saya berikan dalam Dewan Rakyat bagi pihak SPRM tidak menyatakan apa-apa siasatan berkenaan dakwaan berhubung perkara ini telah dihentikan atau digugurkan.
“Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang diperoleh setakat ini bersifat umum,” katanya dalam kenyataan.
Azalina berkata, SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali akan menjalankan siasatan termasuk membuka fail berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa berdasarkan maklumat dan juga bukti diperoleh dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, undang-undang negara tidak mempunyai “sebarang had masa” untuk memulakan siasatan ke atas kes jenayah.
Justeru, perkara tersebut tidak wajar dipolitikkan, termasuk membuat tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya menyeru semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang, dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang berhubung tuduhan gabungan itu menerima sumbangan daripada dana syarikat judi.
Muhyiddin berkata, PN akan berbincang dengan peguam tentang langkah seterusnya yang akan diambil.
Pada 5 Dis tahun lalu, media melaporkan bahawa Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.
Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri, beliau dipetik sebagai berkata dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.