Kerajaan cadang semak semula tarif air, kata menteri

Kerajaan cadang semak semula tarif air, kata menteri

Nik Nazmi Nik Ahmad cadangan itu supaya memberi pulangan modal setimpal dengan kos operasi dibelanjakan operator air.

Menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ada negeri masih menggunakan tarif lama dan tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun. (Gambar Bernama)
BANTING:
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sedang melaksana cadangan semak semula tarif air agar dapat memberi pulangan modal setimpal dengan kos operasi yang dibelanjakan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan persekutuan sedar kemampanan kewangan operator air memainkan peranan penting dalam mutu penyampaian perkhidmatan bekalan air.

“Kami sedia maklum terdapat negeri masih menggunakan tarif lama dan tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun lalu dan perkara ini sedang dalam tindakan NRECC.

“Pada masa sama, kami akan memastikan supaya sebarang kenaikan tarif tidak akan membebankan golongan kurang berkemampuan,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, Selangor dan Johor merupakan dua negeri terbaik dalam pengurusan Air Tidak Terhasil (NRW) iaitu di bawah 30%.

Sementara itu, Amirudin berkata, hasil usaha penggantian paip serta kawalan kebocoran dan kecekapan operasi loji rawatan air mengurangkan NRW dari 36% pada 2016 kepada 27.8% ketika ini dan menyasarkan NRW sebanyak 25% menjelang 2025.

“Kami juga dalam usaha penggantian paip sepanjang 150km setahun dimulakan sejak 2016 membabitkan proses keseluruhan 30,000km panjang termasuk 6,000km paip yang kritikal untuk diganti.

“Kami akan melakukan penggantian ini secara terancang dan tersusun kerana ia melibatkan pertimbangan ekonomi dan kos tinggi,” katanya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, Skim Bekalan Air Rasau Peringkat Pertama dijangka siap pada 2025 merangkumi sembilan bekas kolam perlombongan bijih timah dengan keluasan 489 hektar, berfungsi sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwifungsi pertama di negara ini dengan keupayaan pembekalan air serta tebatan banjir.

Skim itu juga merangkumi komponen sistem perkhidmatan air melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dan sistem agihan bekalan air dengan Sungai Klang yang diabstrak sebagai sumber bekalan air mentah baharu, menyumbang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran air untuk Air Selangor pada 2030.

Peringkat Kedua Skim Bekalan Air Rasau pula akan mula dibangunkan pada 2027 dalam tempoh tiga tahun dengan kos keseluruhan skim berkenaan sebanyak RM5.54 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.