
Beliau berkata, sebarang penggantungan penguatkuasaan Akta itu mesti mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Rang undang-undang (RUU) pindaan itu memperkenalkan subseksyen baharu yang membolehkan menteri menggantung operasi semua atau mana-mana peruntukan akta di kawasan berbeza di seluruh negara.
Kurup menjelaskan, sebarang keputusan menggantung undang-undang itu perlu terlebih dahulu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
“Ini bagi memastikan kepentingan rakyat dan keseragaman undang-undang dalam negara dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya semasa menggulung perbahasan RUU pindaan itu di Dewan Rakyat hari ini.
“Mekanisme semak dan imbang dalam pelaksanaan penyerahan kuasa ini adalah jelas dan teratur serta tidak dilaksanakan secara sewenang-wenangnya … Oleh itu, pendekatan ini bukan saja menjamin prinsip semak dan imbang, malah memastikan pemakaian akta ini dilaksanakan secara terhad, secara bersasar dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.”
Menurutnya, klausa penggantungan serupa turut terdapat dalam perundangan lain seperti Akta Arkitek 1967, Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Akta Bekalan Gas 1993.
Kurup turut menjelaskan, kuasa penggantungan di bawah Akta 127 itu hanya terpakai di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan kedua-dua negeri menguruskan pelupusan sisa terjadual mengikut ordinannya sendiri.
“Penggantungan ini akan mengelak pertembungan antara undang-undang persekutuan dan ordinan negeri,” katanya sambil memaklumkan, pindaan itu dibuat berdasarkan keputusan Putrajaya pada 2022 untuk memelihara autonomi dan hak Sabah serta Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“RUU ini merupakan langkah strategik kerajaan bagi menambah baik kerangka undang-undang alam sekitar sejajar dengan prinsip federalisme, tadbir urus yang baik dan komitmen kita untuk melaksanakan MA63.”
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen meluahkan kebimbangan pindaan itu akan memberi menteri kuasa terlalu besar untuk menggantung undang-undang tanpa pengawasan Parlimen.
Ngeh Khoo Ham (PH-Beruas) membangkitkan persoalan sama ada pindaan itu bercanggah dengan doktrin pengasingan kuasa, memandangkan Parlimen secara dasarnya memberi kuasa mutlak kepada menteri.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pindaan itu membelakangi prinsip kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, kerana menteri yang berhak menentukan kawasan berkuatkuasanya undang-undang berkenaan.