LRT P Pinang dijangka dibina lebih awal

LRT P Pinang dijangka dibina lebih awal

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata depoh LRT dibina di tapak sedia ada berbanding rancangan asal di atas pulau buatan PSI.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata tender untuk pembinaan fasa pertama projek LRT berkenaan boleh dipanggil menjelang akhir tahun ini.
GEORGE TOWN:
Rancangan pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dijangka bermula lebih awal selepas kerajaan persekutuan dan negeri bersetuju untuk membina depoh LRT di tapak tanah sedia ada berbanding rancangan sebelum ini iaitu membinanya di atas pulau buatan dalam Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kedua-dua pihak kini meneliti beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan seperti lokasi depoh berkenaan, yang akan membabitkan sama ada tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang ataupun tanah kerajaan persekutuan.

“Terdapat dua hingga tiga kawasan yang sedang dilihat dan apabila ia dimuktamadkan, pihak kami menjangkakan tender untuk pembinaan fasa pertama projek berkenaan boleh dipanggil menjelang akhir tahun,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan kerja di negeri ini bagi meninjau tempat pembinaan stesen LRT berkenaan.

Katanya pihak kerajaan berharap projek itu boleh dimulakan segera memandangkan tempoh pembinaan projek itu boleh memakan masa lima tahun.

“Mengikut perancangan sebelum ini juga, laluan LRT fasa pertama sepatutnya bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan berakhir di Komtar, tapi pihak MRT Corp merasakan ia lebih sesuai jika ia disambung ke Tanjung Bungah.

“Fasa pertama akan melibatkan 27 stesen sepanjang 29km. Semua stesen adalah stesen bertingkat,” katanya, sambil menambah untuk fasa seterusnya, pihak kerajaan berharap untuk menyambung projek itu sehingga ke Butterworth dan Kepala Batas.

Dari segi pembiayaan, katanya projek itu akan dimasukkan ke dalam perbelanjaan pembangunan kerajaan persekutuan ataupun MRT Corp akan mengeluarkan bon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.