Pukul pelanggan guna buluh lemang, peniaga didenda RM500

Pukul pelanggan guna buluh lemang, peniaga didenda RM500

Tertuduh mengaku salah kerana marah dituduh mangsa menjual lemang mentah, bulan lalu.

Peniaga lemang, Syamudin Salleh, 41, melunaskan bayaran denda itu yang diputuskan Mahkamah Majistret Ayer Keroh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Peniaga yang memukul pelanggan dengan buluh lemang sehingga mendatangkan kecederaan kerana dituduh menjual lemang mentah, bulan lalu, dikenakan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Menurut Harian Metro, tertuduh, Syamudin Salleh, 41, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku salah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Shamuddin Jaamat, 62, di Gerai Lemang Pak Din, Jalan Bukit Beruang, pada 21 April lalu, kira-kira 8 malam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Syamudin yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan kerana sudah menyesali perbuatannya, selain mengakui tindakan itu didorong perasaan marah apabila mangsa mencetuskan provokasi menuduhnya menjual lemang mentah.

Timbalan Pendakwa Raya J Banusha, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tindakan tertuduh menyebabkan mangsa cedera pada tangan dan telinga kirinya.

Mahkamah kemudian mendenda tertuduh RM500 atau penjara dua bulan jika gagal membayar. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut fakta, pada hari kejadian, pengadu (mangsa) kembali ke gerai itu untuk menukar lemang yang dibeli pada waktu pagi kerana mentah.

Dia menunjukkan lemang dibeli di dalam bekas plastik tetapi tidak diendahkan tertuduh yang bertindak membelah satu lagi lemang dibeli dan menunjukkannya ia masak sepenuhnya.

Mangsa turut merakam video menggunakan telefon bimbitnya dan menyatakan gerai itu menjual lemang mentah dan akan menularkannya hingga berlaku pergaduhan antara mereka.

Pengadu mencampakkan lemang dalam bekas plastik kepada tertuduh yang kemudiannya memukulnya dengan buluh lemang hingga cedera di telinga kiri dan tangan kanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.