Tawaran sertai kerajaan dibuat selepas PRU15, kata Hadi

Tawaran sertai kerajaan dibuat selepas PRU15, kata Hadi

Tiada tawaran dibuat selepas itu, kata presiden PAS.

Abdul Hadi Awang sebelum ini mendedahkan beliau beberapa kali dihubungi ‘orang tertentu’ menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menjelaskan tawaran kepada partinya menyertai kerajaan perpaduan diterima selepas PRU15.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, tiada tawaran dibuat selepas itu.

“(Tawaran sertai kerajaan perpaduan) selepas PRU. Sekarang ni tak ada,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu.

Terdahulu, Hadi mendedahkan beliau beberapa kali dihubungi “orang tertentu” menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tawaran itu dengan berkata, sepatutnya ia memberi “kelebihan kepada PAS” kerana mempunyai lebih banyak kerusi berbanding parti lain.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengesahkan beberapa pihak menghubungi dan menemuinya bagi tujuan sama.

Katanya, tawaran disampaikan wakil kerajaan yang menemui beliau sendiri.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, tawaran didakwa diterima PAS untuk menyertai kerajaan perpaduan bukan datang daripadanya.

Katanya, perkara itu tidak pernah dibincangkan kepimpinan Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional.

Sementara itu, Hadi berkata, kerajaan semasa tidak menepati takrif “kerajaan perpaduan”.

“Kerajaan perpaduan bermakna kerajaan yang merangkumi setiap parti politik dan tiada pembangkang. Itu baru membawa makna ‘perpaduan’.

“Kita akan terus berada dalam Perikatan Nasional dan mengajak pihak lain untuk bersama kita. Ini kerana kita mendominasi rakyat, jadi kekuatannya pada kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.