
Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berumur 33 tahun dari daerah Padawan itu mendakwa dia pada mulanya tertarik dengan skim pelaburan itu yang ditawarkan melalui media sosial Facebook, dan menghubungi suspek.
Beliau berkata suspek menerangkan kepada lelaki itu bahawa keuntungan 20% akan diperoleh daripada nilai pelaburan yang dibuat, dan meminta jurujual itu memasukkan wang ke beberapa akaun kononnya sebagai pelaburan.
“Tanpa ragu-ragu lelaki itu melakukan 19 transaksi pindahan wang keseluruhan berjumlah RM524,800 ke tujuh akaun bank berbeza antara 28 April dan 5 Jun lepas. Lelaki itu hanya menyedari ditipu setelah suspek gagal dihubungi kemudiannya,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Azman seterusnya menasihatkan orang ramai agar hanya melabur di platform betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja.