Adun Belantek meninggal dunia

Adun Belantek meninggal dunia

Mohd Isa Shafie yang juga ahli jawatankuasa PAS Kedah sebelum ini dilaporkan menerima rawatan kerana jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Adun Belantek Mohd Isa Shafie meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, malam tadi. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Adun Belantek Mohd Isa Shafie meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, malam tadi.

Berita kematian Mohd Isa dikongsikan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor di laman Facebooknya.

“Saya menerima berita bahawa YB (Yang Berhormat) Dato (Allahyarham Mohd Isa) telah meninggal dunia lebih kurang 11.23 malam di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Salam takziah buat seluruh ahli keluarga (Allahyarham),” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan Isa, 69, yang juga ahli jawatankuasa PAS Kedah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSAH kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang pada bulan lepas.

Pada PRU ke-14, Isa dari PAS menang kerusi DUN Belantek dengan majoriti 2,574 undi selepas mendapat 9,600 undi menewaskan calon Barisan Nasional Mohd Tajudin Abdullah (7,026 undi) dan calon PKR Abdul Rashid Abdullah (2,376 undi).

Kedah yang tidak mengadakan PRN serentak dengan PRU ke-15 pada November lepas akan mengadakan PRN dalam masa terdekat bersama lima negeri lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.