Rogol anak berusia 15 tahun, bapa mengaku salah

Rogol anak berusia 15 tahun, bapa mengaku salah

Tertuduh berusia 41 tahun berdepan lapan pertuduhan termasuk satu kes amang seksual terhadap anak berusia 15 tahun.

Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar mengaku bersalah melakukan amang seksual dan merogol anak kandung.
PETALING JAYA:
Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas dakwaan melakukan amang seksual dan merogol anak kandungnya berusia 15 tahun hingga hamil tujuh bulan.

Tertuduh berusia 41 tahun berdepan lapan pertuduhan termasuk satu kes amang seksual. Dia membuat pengakuan sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar, menurut Harian Metro.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya di sebuah rumah di Semerah, Johor pada 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya itu sejak Oktober 2020 sehingga 5 Jun lalu dengan semua kejadian berlaku di rumah sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 sebatan.

Mengikut fakta kes, kejadian itu terbongkar selepas sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mangsa dan mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuhnya. Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis terhadap tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman kemudian meminta mahkamah menetapkan satu tarikh bagi membolehkan pihaknya mendapatkan laporan DNA, laporan perubatan, dan rekod jenayah lampau tertuduh.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh. Hakim menetapkan 16 Julai ini sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.