
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya setakat ini menerima dua laporan membabitkan modus operandi sama menggunakan tanda tangan jawatan beliau dan ketua polis Perlis.
Katanya, kedua-dua kes itu dilaporkan pada Rabu lalu dengan seorang daripada pengadu mengalami kerugian RM98,000.
“Kes pertama membabitkan pengadu seorang peniaga kedai makan di Teluk Intan yang menerima panggilan mendakwa terdapat kiriman bungkusan mengandungi barang terlarang, selain ada waran tangkap kerana pengadu dikatakan terbabit kes berkaitan dadah dan pengubahan wang haram.
“Notis kehadiran yang mempunyai logo PDRM dan perjawatan ketua polis Perak dihantar sindiket scam itu ke telefon bimbit pengadu. Bagaimanapun, pengadu hadir ke balai polis membuat laporan dan tidak terpedaya dengan helah itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Manakala bagi kes kedua, Yusri berkata ia melibatkan mangsa seorang pensyarah universiti di Perak yang diperdaya sindiket itu yang menghantar notis kehadiran mempunyai logo PDRM kononnya ditandatangani ketua polis Perlis.
“Ia mendakwa mangsa terbabit kes penyeludupan dan menggelapkan wang RM2.8 juta. Akibat takut, mangsa yang terpedaya dengan penipuan itu mendedahkan maklumat peribadi dan bank hingga mengalami kerugian RM98,000 yang dikeluarkan sindiket secara pindahan wang,” katanya.
Yusri berkata polis tidak sesekali menjalankan urusan berkaitan jenayah secara perbualan telefon melainkan untuk memaklumkan mengenai perjumpaan secara bersemuka.
“Jika ada, sila rujuk ke balai polis berhampiran bagi tujuan pengesahan.
“Orang ramai diingatkan tidak mempercayai sebarang urusan berkaitan wang dan perbankan melalui panggilan telefon. Sebaliknya, letak dulu panggilan dan periksa dengan pihak berkenaan secara bersemuka,” katanya.