
Omar Mustapha, pemilik Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan, berkata pihaknya menulis ucapan dalam bahasa Inggeris untuk Najib dan mengendalikan perhubungan awamnya dengan media antarabangsa.
Beliau berkata, syarikatnya dilibatkan susulan kemarahan orang ramai pada 2010 berhubung pendedahan bahawa kerajaan menanggung RM76.8 juta yuran yang dibayar kepada APCO Worldwide, sebuah firma perhubungan awam antarabangsa yang terlibat mengendalikan perkara berkaitan media.
“Saya tidak pernah meminta perdana menteri untuk kontrak (bertulis). Penglibatan ini hanya persetujuan lisan kerana ada kemungkinan isu ini dipolitikkan seperti APCO.
“Selain itu, pakar asing yang saya libatkan lebih selesa memberikan perkhidmatan mereka secara bebas,” katanya.
Omar berkata, beliau bertemu Najib di Pejabat Perdana Menteri sebulan sekali dalam tempoh tiga tahun untuk mendapatkan bayaran.
“Saya mengambil cek yang ditandatangani (daripadanya). Saya tidak mendapat wang tunai daripada perdana menteri (ketika itu).
“Saya tunaikan cek selama tiga tahun ke dalam akaun syarikat saya tanpa pengecualian, dan tanpa disoal oleh bank, atau sebarang amaran,” katanya.
Omar berkata, beliau tidak tahu sumber wang digunakan Najib untuk membayar syarikatnya.
“Cek itu tidak mempunyai nama (pemegang akaun). Saya tidak boleh simpulkan siapa pemiliknya, saya hanya boleh mengesahkan dia (Najib) adalah penandatangan,” katanya.
Dalam pemeriksaan balas, Omar berkata syarikatnya mempunyai sumber pendapatan lain.
Dia juga mengaku membayar wang kepada peguam mendiang Gopal Sri Ram. Beliau berkata, Sri Ram terlibat untuk mewakili syarikat itu dalam pertikaian komersial suatu ketika dahulu pada 2015, dan bayaran tersebut untuk yuran guaman yang ditanggung dalam kes terbabit.
Sri Ram, yang bertindak sebagai pendakwa ad hoc dalam kes 1MDB Najib, meninggal dunia pada Januari lalu.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam dan Ahmad Akram Gharib mewakili pihak pendakwaan.
Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.