
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Azmin ditugaskan untuk memenangi Selangor kerana PN mengiktiraf perjuangan sukar bakal dihadapinya, terutama di kawasan bandar.
“PN mahu memanfaatkan hubungan akar umbi Azmin di Selangor semasa beliau menjadi menteri besar.
“Azmin dipercayai mempunyai pengaruh di kawasan tertentu di Selangor, seperti DUN Gombak di mana beliau dilihat aktif mengadakan libat urus dengan orang Melayu kelas pertengahan di masjid dan surau,” katanya kepada FMT.
Sabtu lalu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dilapor meletakkan tanggungjawab kepada Azmin untuk memastikan gabungan itu memenangi PRN Selangor.
Sebagai pengerusi PN Selangor semasa dan bekas menteri besar, katanya, menjadi tanggungjawab Azmin untuk memastikan kemenangan gabungan itu pada PRN akan datang.
Sementara itu, Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata, PN tiada pemimpin terkenal lain yang boleh memimpin Selangor secara berkesan.
“Siapa lagi (yang ada) dalam PN? Noh Omar mungkin panglima perang dalam Umno, tetapi beliau tiada kehadiran di seluruh negeri (seperti Azmin).”
Katanya, Azmin boleh menuntut kemenangan jika PN memenangi jumlah kerusi “signifikan” di Selangor, dengan syarat Pakatan Harapan-Barisan Nasional gagal mengekalkan majoriti dua pertiganya.
“Jika itu berlaku, maka Azmin, yang tidak lebih daripada pemimpin pembangkang di DUN, akan hilang sedikit momentumnya untuk PRU akan datang (PRU16).”
Seorang lagi penganalisis politik, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, Azmin akan hilang kedudukannya dalam PN jika gagal memenangi PRN Selangor.
“Azmin ialah orang PN di Selangor. Beliau tiada pengaruh di luar negeri itu, lebih-lebih lagi di kawasan Melayu di mana PN berkuasa atau mempunyai pengaruh sangat kuat.”