
Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menghantar empat anaknya ke sekolah.
Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, mangsa dikenali sebagai Nor Hayati, 45, yang juga seorang suri rumah meninggal dunia akibat parah di dada dan kaki, dalam kejadian kira-kira 7 pagi tadi.
Katanya, anaknya, Muhammad Asyraff Putra, 6, yang berada di tempat duduk hadapan dan Muhammad Azzam Putra, 8, di tempat duduk belakang, parah dan dirawat di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari Simpang Renggam menghala Air Hitam bertembung Perodua Axia yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Perodua Axia kemudian berpusing dan masuk semula ke laluannya dan berlanggar dengan lori Nissan,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, pelanggaran itu mengakibatkan Asyraff mengalami pendarahan di kepala, perut, dan patah tangan kiri, manakala Azzam dipercayai mengalami pendarahan dalam kepala dan patah paha kiri.
Bahrin berkata, dua lagi anak Nor Hayati, Putri Ainnur Umairah, 9, cedera di kaki kiri, manakala Muhammad Airell Putra, 16, cedera di kepala, kaki kiri, dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam.
Katanya, pemandu dan penumpang Perodua Axia turut cedera dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.