
Muhyiddin berkata PN yang akan bertanding di 245 kerusi DUN mahu mengelakkan pergeseran jika mereka berjaya menawan Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang selain mengekalkan pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menurut presiden Bersatu itu, pengagihan bukan hanya membabitkan jawatan menteri besar, ketua menteri, Exco dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tetapi ahli majlis serta ketua kampung.
“Kami bila sudah selesai rundingan kerusi, sudah mula perbincangan tentang pembentukan kerajaan (negeri),” katanya dalam temu bual eksklusif bersama FMT.
Pada 22 Jun lalu, PN telah memuktamadkan rundingan kerusi di antara komponennya. Turut diputuskan calon menteri besar bagi Selangor dan Negeri Sembilan akan datang daripada Bersatu manakala PAS mengetuai pentadbiran Kedah, Kelantan dan Terengganu.
PAS akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu 83 kerusi, dan Gerakan 36 kerusi.
Muhyiddin berkata PN tidak bimbang dengan kritikan terhadap pelantikan ahli politik untuk mengetuai GLC dengan menegaskan “perkara sama” turut dibuat kerajaan perpaduan.
“Kalau ada tokoh-tokoh politik berkaliber yang tidak memegang sebarang jawatan dan layak, apa salah dengannya.
“Tidak semestinya orang-orang korporat sahaja,” katanya.
Selangor penting untuk PN
Muhyiddin turut mengakui penting untuk PN mengambil alih pentadbiran Selangor pada PRN memandangkan statusnya sebagai negeri paling maju, menyumbang 24.8% kepada KDNK dengan nilai pendapatan RM300 bilion.
“Kita sedar bukan mudah, kalau tanya saya dua tiga tahun lalu kalau kalau boleh ambil alih Selangor…saya kata kita cubalah.
“Tetapi sekarang saya kata InsyaAllah kerana ada satu perubahan landskap politik selepas PRU,” katanya merujuk gelombang rakyat yang menyaksikan PN menawan banyak kerusi Parlimen di Selangor dengan majoriti besar, November lalu.
Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) memenangi 51 kerusi daripada 56 yang ditandingi.