Pernahkah DAP tarik sokongan, Loke tanya Dr M

Pernahkah DAP tarik sokongan, Loke tanya Dr M

Setiausaha agung DAP itu mengingatkan Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau mendapat sokongan 42 Ahli Parlimen DAP semasa menerajui kerajaan PH.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menyangkal dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa DAP mahu menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan sekular. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Loke Siew Fook menyangkal dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim “terpaksa mengikut manifesto DAP” disebabkan pengaruh parti itu atas kerajaan.

Setiausaha agung DAP itu mengingatkan Mahathir bahawa beliau mendapat sokongan 42 Ahli Parlimen DAP ketika memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) dari 2018 hingga 2020.

“Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya?” tanya Loke dalam kenyataan

Loke menyangkal dakwaan Mahathir bahawa DAP mahu menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan menggantikan Islam sebagai agama rasmi, dengan negara sekular.

Katanya, dakwaan Mahathir tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, DAP akan mempertahankan semua perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Awal hari ini, Mahathir dalam rajutan di Twitter mendakwa usaha mempromosi negara berbilang kaum bertentangan dengan Perlembagaan kerana Malaysia tidak pernah digambarkan sebagai negara berbilang kaum dalam Perlembagaan.

Bekas perdana menteri itu mendakwa Perlembagaan “menekankan kemelayuan Malaysia”.

Loke menegaskan bahawa Malaysia terkenal sebagai “sebuah negara berbilang kaum yang dapat hidup bersama secara aman”.

Beliau mempersoalkan sama ada Mahathir telah lupa akan dasar Wawasan 2020 digubalnya pada 1991 yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Malaysia.

“Mengapa hari ini beliau sanggup mengambil satu pendirian yang begitu bermusuhan dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia?

“DAP tidak akan bermusuhan dengan mana-mana kaum. Kita akan terus berkhidmat demi negara dan memainkan peranan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.