
Perdana menteri membidas Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya di pelancaran Buku Adab Perbezaan Pendapat dalam Pengukuhan Perpaduan Nasional, selepas didakwa sebagai boneka DAP dalam kerajaan.
“DAP dalam Jemaah Menteri dah tujuh bulan, ketua setiausaha negara (Zuki Ali) ada dalam mesyuarat. Tiada satu pun mereka pertikai program untuk orang Melayu, untuk orang miskin atau Islam sekalipun,” katanya.
Anwar juga menepis tuduhan bahawa beliau boneka DAP, semata-mata kerana parti itu memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam gabungan itu.
“Perdana menteri saya. Saya bukan boneka sesiapa,” katanya. “Saya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kalau boleh dibeli dah melencong lama dah.”
Anwar turut menyifatkan parti-parti dalam kerajaan perpaduan sebagai rakan-rakan “penting dalam menjaga keharmonian”.
Dalam pada itu, Anwar meminta Mahathir tidak menyalahkan kegagalan menangani permasalahan ekonomi komuniti Melayu dan Islam pada pihak lain.
“Kalau kami gagal dulu ketika memimpin puluhan tahun, itu salah kamu; bukan salah pendokong kamu mengapa ekonomi Melayu tidak diangkat sekarang,” katanya.