
Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata mayat dipercayai lelaki dewasa itu dijumpai terdampar di tebing pasir, 2km dari lokasi kejadian.
“Mayat berjaya dikeluarkan pada 11.20 pagi tadi.
“Identiti mangsa belum dikenal pasti dan mayat akan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk pengecaman oleh waris,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih hari ini.
Walaupun identiti berkenaan belum disahkan, polis tidak menolak kemungkinan ia mayat Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor.
Hanyan berkata dengan penemuan mayat kesembilan itu, operasi SAR diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa, Putri Nor Fatin Karim, 14, dengan pencarian ditumpukan di sektor A.
“Pasukan SAR tetap akan menjalankan pencarian di sektor B dan C dengan dibantu orang awam dan penduduk kampung bagi mengesan Putri Nor Fatin atau sehingga menjumpai sebarang petunjuk baharu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias, berkata usaha pencarian seterusnya akan bermula 1km dari lokasi kenderaan mangsa ditemui dan kerja ‘sweeping’ akan dilakukan semula di sektor A.
Beliau berkata keadaan cuaca baik hari ini menyebabkan keadaan jeram kembali normal dan air sungai semakin jernih membantu memudahkan operasi SAR, termasuk kerja penyelaman.
Dalam kejadian Sabtu lepas, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan dan Fikri dikatakan berkelah di jeram berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.
Jenazah tujuh daripada sembilan sekeluarga yang terkorban, iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anak mereka Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selamat dikebumikan Selasa lepas di Tanah Perkuburan Islam Lepar Hilir 3, Kuantan.
Jenazah mangsa kelapan, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, pula selamat dikebumikan bersebelahan kubur ibu bapa dan lima beradiknya kelmarin.