Parti tak teratur, ahli Muda kini bermasalah untuk keluar

Parti tak teratur, ahli Muda kini bermasalah untuk keluar

Ahli mendakwa parti itu mempunyai kelemahan dari segi proses pentadbiran asas, organisasi dan ketelusan.

Muda dikatakan mengalami beberapa persengketaan dalaman apabila ahli yang tidak berpuas hati mengadu bahawa kepimpinan bersikap tidak telus mengenai keputusannya.
PETALING JAYA:
Ahli Muda berada dalam keadaan tertanya-tanya apabila ramai yang mengadu tidak tahu mengenai hala tuju dan perlembagaan parti, serta tidak pasti bagaimana cara untuk meninggalkannya.

Seorang ahli yang enggan namanya disiarkan, berkata tiada saluran yang sesuai untuk ahli menyerahkan permintaan untuk keluar parti.

“Anda boleh menghantar emel untuk menyatakan bahawa anda mahu keahlian dibatalkan, tetapi tiada siapa yang akan membalas. Tidak ada sesiapa yang bertanggungjawab ke atas keahlian,” kata sumber itu.

Dia mendakwa bahawa beberapa rakan sebayanya dalam Muda juga mempunyai masalah dengan parti dan mahu keluar.

“Kami tidak dimaklumkan mengenai perlembagaan parti. Apabila kita bertanya kepada kepimpinan mengenainya, mereka cenderung untuk berkata: ‘Ia dalam proses’,” katanya.

Menurut ahli itu, akar umbi juga tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

“Mereka tidak berkongsi hasil mesyuarat mereka dengan ahli. Seolah-olah parti itu milik segelintir individu. Selebihnya kami dibiarkan tanpa dimaklumkan apa-apa,” katanya.

Parti itu juga telah menerima kritikan di media sosial mengenai cara mereka mengendalikan permintaan untuk membatalkan keahlian.

Pengguna Twitter @mtthmzh dan @timothy_pablo kedua-duanya berkata mereka sedang menunggu berita mengenai status permohonan mereka untuk keluar parti.

“Jangan terus bercakap tentang permohonan keahlian kerana saya mahu meninggalkan parti ini secepat mungkin,” tambah @timothy_pablo.

Bercakap kepada FMT, Setiausaha Agung Muda, Amir Abdul Hadi, mengakui kelewatan dalam menangani permintaan penamatan keahlian, mengaitkannya dengan keperluan memproses secara manual.

“Sekiranya mereka mahu mempercepatkan proses, mereka boleh menghantar emel kepada [email protected],” katanya.

Amir juga menjelaskan Muda masih belum memformalkan perlembagaannya kerana parti itu sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk pindaan tertentu yang ingin dimasukkan ke dalam dokumen itu.

“Apa yang kita ada sekarang ialah perlembagaan yang asas disediakan oleh JPPM untuk mendaftarkan parti ini.

“Kita telah membuat (cadangan) pindaan dan menghantarnya kepada JPPM, jadi kita sedang menunggu kelulusan mereka,” katanya.

Menurut Amir, Muda bertemu dengan pegawai JPPM 13 Jun lalu, di mana wakil parti diberitahu bahawa maklum balas hanya boleh diberikan selepas PRN akan datang.

Minggu lalu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu bertanding sendirian dalam PRN, selepas cubaan untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) ditolak Perdana Menteri dan Pengerusi Gabungan Anwar Ibrahim.

Ini bermakna parti itu mungkin akan bertembung dengan PH dan sekutu kerajaan perpaduan Barisan Nasional (BN) pada PRN Ogos, walaupun menjadi sebahagian daripada blok kerajaan di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.