
Beliau berkata, negeri yang sebelum ini diterajui Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sudah mengeluarkan kad laporan susulan pembubaran DUN masing-masing.
“Hari ini, saya minta negeri diperintah oleh parti agama mengeluarkan kad laporan mereka,” katanya yang membidas PAS pada sidang media.
PAS menerajui kerajaan Kedah dan Terengganu sejak 2018 dan Kelantan sejak 1990.
Nga, yang juga menteri pembangunan kerajaan tempatan, menolak dakwaan Timbalan Menteri Besar Kelantan Amar Nik Abdullah yang berkata negeri itu bukan “tidak maju” seperti didakwa pengkritik kerana ia sudah mempunyai Aeon Mall di sana.
“Adakah Aeon dibina oleh kerajaan negeri atau pelabur swasta?
“Aeon Mall adalah mercu tanda dan sesuatu yang tidak boleh diterima (sebagai bukti pembangunan). Justeru, kad laporan diperlukan untuk rakyat menilai kerajaan negeri.”
Enam negeri itu akan mengundi pada 12 Ogos.
Dalam perkembangan lain, Nga berkata beliau masih menganggap Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai “rakan baik” selepas parti itu memutuskan bertanding secara solo pada PRN akan datang.
Bagaimanapun, beliau berkata lebih baik jika “kita boleh berkompromi untuk membina negara”.
“Malah MCA dan MIC yang tidak bertanding juga sanggup membantu kerajaan perpaduan.”
Bulan lalu, Pemuda PKR berkata Muda “bukan rakan kongsi yang sesuai disimpan” berikutan keputusannya untuk bertanding secara solo atas alasan tidak diberi peluang bertemu pemimpin Pakatan Harapan (PH) membincangkan peruntukan kerusi PRN di enam negeri.
Ketua Pemuda PKR, Adam Adli, berkata keputusan Muda membayangkan ia hilang keyakinan terhadap keupayaan PH untuk mentadbir negeri dipimpin oleh gabungan berkenaan.
Syed Saddiq dilaporkan berkata parti itu mengemukakan tiga surat memohon “pertemuan ringkas” dengan Pengerusi PH Anwar Ibrahim tetapi “tidak diendah” malah diejek.