
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad membidas Tengku Zafrul Aziz “over-excited” dengan laporan tidak tepat mengatakan beliau bertemu pelabur yang ingin melabur sehingga RM500 bilion.
Bekas perdana menteri berkata, laporan itu diperbetulkan sendiri oleh penerbit akhbar tersebut tanpa permintaan daripadanya, dan kenyataan sebenar pelaburan dinyatakan beliau adalah sebanyak RM500 juta dimuat naik menggantikan laporan asal.
“Agaknya sebelum sempat akhbar itu lakukan pembetulan, Tengku Zafrul tanpa berlengah memuat naik di video di media sosialnya dengan memberi perincian bahawa RM309 bilion ialah pelaburan tertinggi setahun yang pernah didapati oleh Malaysia dan di zaman saya jadi perdana menteri pun tak pernah dapat pelaburan mencecah RM500 bilion.
“Jika sifat ‘over-excited’ Tengku Zafrul terhadap laporan tidak tepat itu terdapat juga dalam dirinya ketika mencari dan mendapatkan pelabur ke Malaysia, saya yakin ‘keadaan ekonomi negara yang kelam dan muram’ ini dapat di atasi,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri dalam video di media sosialnya berkata kerajaan akan menyediakan layanan karpet merah jika benar ada pelabur sanggup melabur RM500 bilion di Langkawi.
Katanya, jika benar jumlah pelaburan itu, maka ia menjadi sejarah pelaburan terbesar bagi Malaysia.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Mahathir mendakwa beliau bertemu beberapa orang yang berminat untuk melabur RM500 bilion di Langkawi.
Bagaimanapun, mereka akhirnya menuju ke Indonesia, Vietnam dan Filipina kerana tiada menteri yang sudi bertemu mereka, dakwa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.
Dalam pada itu, Mahathir meminta Tengku Zafrul memperincikan pelaburan yang masuk dan dimuktamadkan sejak beliau menjadi menteri bawah kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, jika setakat buat pengumuman ada pelbagai cadangan dan tandatangan puluhan memorandum persefahaman (MoU) berkait pelaburan tanpa keputusan muktamad tidak akan membangunkan ekonomi negara.
“Ada orang tanya jika saya kenal siapa Tengku Zafrul. Saya beritahu tak begitu kenal secara peribadi tetapi saya dengar cerita pasal dia termasuk dia menyanyi dalam kugiran sebelum PRU14 sokong kerajaan kleptokrasi.
“Selepas saya jadi perdana menteri ada pegawai saya minta supaya jangan ambil tindakan terhadap Tengku Zafrul walaupun ada usaha untuk buang dari CIMB. Saya kata kerajaan pimpinan saya tidak akan aniaya sesiapa kecuali jika dapat bukti kesalahan,” katanya.