PRN Selangor: Amanah tanding 9 kerusi

PRN Selangor: Amanah tanding 9 kerusi

Amanah akan bertanding di DUN Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Kelang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal, Taman Templer dan Hulu Bernam.

Izham Hashim berkata, senarai calon PRN Selangor akan dimuktamadkan hari ini oleh kepimpinan peringkat tertinggi Amanah. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Amanah Selangor mengesahkan akan bertanding sembilan daripada 56 kerusi DUN pada PRN bulan depan.

Pengerusinya, Izham Hashim berkata parti itu akan mempertahankan DUN Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Kelang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal dan Taman Templer yang dimenangi mereka pada PRU14.

“Satu lagi kerusi adalah Hulu Bernam, kami tukar dengan Barisan Nasional (BN), manakala kerusi Jeram mereka (BN) ambil,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini.

Mengulas calon Amanah Selangor, Izham berkata senarai calon parti itu akan dimuktamadkan hari ini oleh kepimpinan peringkat tertinggi Amanah.

“Jawatankuasa calon dah selesai pilih (calon), esok (hari ini) dibawa ke peringkat tertinggi untuk mengesahkan nama-nama yang dicalonkan. Kami akan umum setelah selesai kelak.

“Calon-calon yang dipilih haruslah mempunyai kriteria ditetapkan seperti kelulusan akademik, pengalaman dalam politik, boleh bekerja dan berjawatan dalam parti,” katanya sambil menambah Amanah akan menampilkan kombinasi muka baharu dan lama, anak muda serta wanita.

Mengenai persediaan menghadapi saingan Perikatan Nasional (PN) di Selangor, beliau berkata pihaknya percaya mampu mempertahankan sekurang-kurangnya lapan kerusi pada PRN kali ini.

“Kami dah perintah Selangor tiga penggal, kita boleh lihat stabil, makmur dan sejahteranya Selangor ini. Tiada sebab pengundi mahu membuat pertukaran.

“Pencapaian (Selangor) bagus, kami ada rekod sangat baik, program untuk rakyat daripada berbelas-belas (sebelum ini) sekarang ada 46 program untuk rakyat. Selain itu, kami tidak terlibat dengan skandal atau kes korup, curi duit rakyat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.