
Annuar turut menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau “menyelamatkan” Umno daripada diharamkan adalah sekadar rekaan untuk menarik undi Umno kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN tidak lama lagi.
Tambahnya, Mahathir dan Muhyiddin sebelum ini juga menafikan mereka mahu mengharamkan Umno ketika berkuasa.
“Mengetahui cara kepimpinan Mahathir, jika benar dia hendak mengharamkan Umno, tidak mungkin ada orang yang dapat menghalangnya.
“Apa lagi Anwar yang Mahathir langsung tidak libatkan dalam urusan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanyanya, jika benar Anwar yang menyelamatkan Umno dari diharamkan pada 2019, mengapa Presiden Umno Zahid Hamidi tidak menyokongnya menjadi perdana menteri semasa berlakunya Langkah Sheraton.
“Sebaliknya (Zahid) menyokong Mahathir dan kemudiannya menyokong Muhyiddin jadi perdana menteri. Di mana logiknya cereka Anwar dan Zahid ini” katanya.
Kata Annuar lagi, jika mahu mengharamkan Umno, sudah lama ia boleh dilakukan kerana parti itu melanggar pelbagai peraturan Pendaftar Pertubuhan (RoS), sepanjang 2012 hingga 2018.
“Tetapi RoS tidak pun berbuat demikian. Malah Muhyiddin membawa Umno menjadi kerajaan, bukan mengharamkannya.
“Akhirnya (Muhyiddin) menyerahkan kerajaan pimpinannya kepada Umno dengan Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri,” katanya.
Anwar dalam satu ceramah pada Ahad lalu berkata, beliau antara pemimpin PH yang membantah rancangan Mahathir dan Muhyiddin untuk mengharamkan Umno selepas PRU14.
Katanya, bantahan dilakukan kerana ia bukan penyelesaian kepada isu berbangkit pada waktu berkenaan.
Susulan daripada kegagalan mengharamkan Umno, Anwar berkata kini Zahid menjadi mangsa dan serangan Perikatan Nasional (PN) yang mahu meraih sokongan ahli Umno pada PRN.
Disember lalu, Zahid mendedahkan cubaan untuk mengharamkan Umno pernah “dipatahkan” seseorang namun beliau tidak mendedahkan identitinya.