Dakwa akaun Twitter digodam, Lau nafi buat kenyataan tak sensitif

Dakwa akaun Twitter digodam, Lau nafi buat kenyataan tak sensitif

Dominic Lau berkata pihaknya akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Dominic Lau ciapan tidak sensitif terhadap kematian Salahuddin Ayub dibuat pihak tidak bertanggungjawab yang menggodam akaun Twitternya.
PETALING JAYA:
Presiden Gerakan Dominic Lau mendakwa akaun Twitter rasminya telah digodam pihak tidak bertanggungjawab yang membuat kenyataan tidak sensitif susulan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Lau berkata beliau terkejut membaca ciapan di akaun rasminya @Dominiclauhc yang tertulis ‘Kalau saya tanding PRK Pulai ok tak?’, merujuk kepada kerusi Parlimen diwakili Salahuddin yang meninggal dunia pada malam Ahad.

“Untuk makluman, ciapan tersebut bukannya datang daripada (saya) atau pentadbir yang sah,” kata timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dalam kenyataan.

Lau berkata, pihaknya sedang mengesan punca insiden itu dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

“Buat masa sekarang, protokol keselamatan yang terbaru telah diaktifkan termasuk penukaran kata laluan pada semua akaun media sosial rasmi,” katanya.

Susulan ciapan yang telah dipadam itu, Lau dikritik hebat oleh pengguna media sosial kerana tidak menghormati pemergian Salahuddin.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, pada 9.23 malam Ahad selepas ditidurkan apabila menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Timbalan presiden Amanah itu meninggalkan isteri Fatimah Taha dan enam anak terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.