
Timbalan perdana menteri berkata, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman boleh bercakap apa sahaja yang beliau mahu, lapor Sinar Harian.
“Apa yang penting persatuan belia perlukan peruntukan yang cukup untuk mereka menjalankan aktiviti sama ada peringkat daerah, negeri,” katanya yang dipetik akhbar itu.
Semalam, Syed Saddiq dalam hantaran di Twitter mendakwa Zahid “menormalisasikan rasuah” selepas presiden Umno itu dilaporkan berjanji akan meluluskan peruntukan tersebut jika mereka mengundi Barisan Nasional.
Semalam, media melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.
Zahid dalam program dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran negeri itu.
Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan tersebut dalam PRN pada 12 Ogos ini.
Apabila ditanya adakah kerajaan akan menarik balik peruntukan diumumkan jika kalah di mana-mana negeri, Zahid berkata itu adalah mustahil.
“Kerajaan perpaduan bukanlah zalim dan tidak menepati janji,” katanya.