Selangor batal cadangan projek PJD Link

Selangor batal cadangan projek PJD Link

Menteri Besar Amirudin Shari berkata keputusan itu diambil kerana tidak berpuas hati dengan pelan perancangannya terutama berkaitan impak sosial.

Amirudin Shari mengumumkan kerajaan Selangor membatalkan permohonan pembinaan PJD Link. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor membatalkan permohonan pembinaan PJ Dispersal Link (PJD) kerana tidak berpuas hati dengan pelan perancangannya yang tidak menepati syarat ditetapkan.

Menteri Besarnya Amirudin Shari berkata pentadbirannya telah meneliti Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) berhubung projek pembinaan lebuh raya baharu di Petaling Jaya itu.

“Berkait laporan penilaian impak dikemukakan terutamanya dari segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan dikemukakan kerana tidak menepati syarat ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Oleh demikian Kerajaan Selangor tidak berhasrat meneruskan dengan cadangan ini dan memutuskan membatalkan permohonan pembinaan lebuhraya PJD-Link,” katanya dalam kenyataan media.

Cadangan pembinaan lebuh raya itu diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 2017 sebelum dibawa kepada Kerajaan Selangor.

Pada September 2020, kerajaan Selangor meluluskan secara dasar projek PJD Link, tertakluk kepada penerimaan laporan EIA, SIA dan TIA.

Mengikut perancangan, lebuh raya itu akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara and Bukit Jalil Technology Park.

Pada Jun lalu, syarikat konsesi PJD Link (M) Sdn Bhd menandatangani perjanjian induk untuk pembiayaan dengan MCC Overseas (M) Sdn Bhd (MCC Malaysia), anak syarikat China Metallurgical Group Corporation (MCC Group) untuk mendapat dana RM922 juta untuk melaksanakan projek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.