Umum ‘bantuan’ ketika pilihan raya, kena ada panduan, kata Tuan Ibrahim

Umum ‘bantuan’ ketika pilihan raya, kena ada panduan, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS berkata panduan itu perlu dibuat kerajaan agar semua pihak tahu 'bentuk bantuan' apa dibenarkan.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan perlu merangka satu panduan apa yang dibenar dan tidak dibenarkan berkait dana agar tidak dilihat sebagai kesalahan ketika pilihan raya.
SEREMBAN:
PAS menggesa kerajaan menyediakan satu panduan khusus berhubung “pemberian bantuan” semasa pilihan raya.

Timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia penting agar semua pihak mengetahui bentuk bantuan apa yang dibenarkan.

“Saya bukan nak pertikai kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi kita perlu satu panduan yang mana boleh dan mana tak boleh.

“Tak nak sekejap kata boleh…bila pembangkang sediakan bas pun tak boleh,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri ceramah kelompok Perikatan Nasional (PN) di Paroi.

Sebelum itu, Ketua SPRM Azam Baki menyifatkan geran RM350,000 diumumkan Zahid Hamidi kepada belia Terengganu sebagai pemberian dari pemerintah dan tiada unsur rasuah.

Sumbangan diumum timbalan perdana menteri itu membabitkan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu yang dipersoalkan pelbagai pihak kerana dibuat menjelang PRN enam negeri.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengingatkan SPRM bertindak secara bebas.

Katanya, badan itu perlu bebas agar rakyat tidak hilang kepercayaan kepada institusi seperti SPRM.

“Sebab itu (kenyataan berkaitan Zahid) orang pertikai. Saya bukan nak pertikai kenyataan SPRM. Dalam keputusan pilihan raya Kuala Terengganu, benda macam ini dianggap salah oleh mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan Gerakan menunggang jentera PAS di Pulau Pinang.

“Kita bertanding atas tiket PN dan bukan parti-parti. Ada tempat kuat kita bantu orang lain…tempat lemah orang bantu kita. Yang penting satu pasukan,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menyerahkan kepada polis berhubung kejadian Ibu Pejabat PAS Pusat di Jalan Raja Laut dibaling batu oleh seorang lelaki tidak dikenali pada Sabtu mengakibatkan dinding kacanya pecah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.