
Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa dokumen mengenai perkara itu sedang didedahkan oleh pihak tertentu.
“Tak (minta maaf), kes itu sedang berkembang dan dokumen-dokumen sedang didedahkan (oleh pihak ketiga), kita tengok sehari dua lagi. Itu sahajalah,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Alor Setar, menurut Malaysia Gazette.
Semalam, Vincent dan syarikatnya Berjaya Land Berhad memberi tempoh sehingga hari ini untuk Sanusi memohon maaf secara terbuka susulan kenyataan berunsur “fitnah” mengenai projek SMG.
Jika gagal berbuat demikian, mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Sanusi.
Vincent dan Berjaya Land turut menuntut pampasan sebanyak RM200 juta.
Sanusi ketika Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, minggu lalu mendakwa wujud skandal antara Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dengan Vincent kononnya mahu melaksanakan projek SMG bernilai RM10 bilion di Sungai Klang.
Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan negeri sekitar RM180 juta.
Susulan kenyataan itu, Amirudin berkata beliau akan menyaman Sanusi dan proses tindakan undang-undang terhadapnya sudah dimulakan.