
Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Bahrin Mohshin, polis menahan seramai 425 pendatang tanpa izin berusia antara lapan hingga 54 tahun di pangsapuri Cheria Heights pada 4 Ogos.
“Ini adalah pelanggaran Deklarasi Asean mengenai Hak Kanak-kanak dalam konteks migrasi kerana ia melanggar kebebasan awam mereka dan memberi kesan terhadap kesejahteraan mental mereka,” kata kumpulan NGO itu dalam kenyataan.
Kumpulan itu, termasuk Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Beyond Borders Malaysia, Tenaganita, Aliran dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), menggesa agar kanak-kanak yang ditahan dibebaskan segera. Mereka turut meminta semua tahanan dibenarkan mendapatkan perwakilan guaman.
“Malaysia juga gagal menegakkan ikrar melaksanakan dasar dan perundangan yang akan melindungi hak masyarakat paling rentan,” kata mereka.
Kumpulan itu menegaskan bahawa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah berjanji pada Februari untuk menyerahkan kanak-kanak yang ditahan di pusat tahanan imigresen kepada NGO.
Mereka berkata, tiada seorang pun kanak-kanak yang ditahan pada Jumaat lepas dibebaskan daripada tahanan, apatah lagi diserahkan kepada NGO berkaitan. Kumpulan itu itu turut menggesa kerajaan memberkas ejen buruh dan majikan yang terlibat dalam pengambilan migran tanpa dokumen.
“Ketiadaan dokumen dan visa kerja adalah kesalahan pentadbiran, yang juga disebabkan oleh ejen buruh dan majikan yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Tambahan pula, tindakan mengadakan serbuan di kawasan perumahan kerana dapat mencetuskan trauma dalam kalangan individu yang tidak bersalah dan jelas melanggar hak asasi manusia, menurut kumpulan NGO itu.