
Jenazah sepupunya Salmah Mat Akib ditemui berpelukan bersama anak menantunya, yang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan selain anaknya Khairul Ikhwan Nor Azman di timbunan pokok hanyut bersama rumah dibawa arus sejauh 100m dari tapak asal.
Kejadian 4 Julai lalu turut menyebabkan 17 pemilik hilang rumah sekelip mata dan tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Wahab yang berusia 53 tahun, kejadian itu menimbulkan trauma setiap kali melihat awan mendung dan hujan lebat, beliau sentiasa teringat arus deras membadai kampung itu tanpa memberi sebarang amaran.
“Kita takut ia berulang, kalau hujan lepas…kami bersedia ke kawasan tinggi,” katanya ketika ditemui FMT.
Menyifatkannya sebagai bencana paling buruk sepanjang 50 tahun menetap di kampung itu, Wahab turut berharap pihak berkuasa dapat memantau penerokaan hutan di bukit berhampiran yang dipercayai menjadi punca bencana.
“Kita tiada masalah kalau hendak buat sebarang projek tetapi kena kaji dari segi keselamatan supaya tragedi lama tak berulang,” katanya.

Bagi Ahmad Latif yang hilang rumah dalam kejadian itu, dia pernah membantah aktiviti pembangunan hutan di kawasan berkenaan namun tidak dapat menghalangnya sehinggalah bencana itu melanda pada 2022.
Ahmad mendapat rumah baharu daripada kerajaan di Desa Keda Sadek beberapa bulan lalu.
Sementara itu, Mohamad Tahir, 48, berkata rata-rata penduduk masih memerlukan bantuan kerajaan terutama pertanian untuk mengusahakan semula tanaman yang musnah dalam banjir puing.
“Saya harap agensi berkaitan akan turun padang melihat kembali bantuan pertanian yang kami perlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.