Najib kemuka representasi kedua gugur dakwaan berkait RM6.6 bilion bayaran Ipic

Najib kemuka representasi kedua gugur dakwaan berkait RM6.6 bilion bayaran Ipic

Bekas perdana menteri itu mengemukakan representasinya dua tahun lepas tetapi telah ditolak.

Najib Razak (kiri) dan Irwan Serigar Abdullah didakwa bersama menyeleweng RM6.6 bilion dana kerajaan melalui pembayaran kepada Ipic pada 2018.
KUALA LUMPUR:
Najib Razak telah menghantar representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.

Najib dan Irwan didakwa pada 2018 atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (Ipic).

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Jamil Hussin bahawa pihaknya telah menerima surat representasi pada minggu lepas daripada Tetuan Shafee & Co yang mewakili bekas perdana menteri itu.

“Jadi, kami perlukan masa untuk meneliti surat representasi kerana kes ini melibatkan dokumen yang banyak.

“Saya telah diarah memohon satu lagi tarikh pengurusan kes untuk Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun mempertimbangkan representasi ini,” kata Muhammad Saifuddin.

Sementara itu, peguam Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan peguam K Kumaraendran yang mewakili Irwan memohon satu tarikh dalam tempoh masa sebulan.

Hakim Jamil menetapkan 12 Sept depan untuk pengurusan kes.

Najib mengemukakan representasinya dua tahun lepas tetapi ditolak manakala representasi dihantar Irwan pada 2020 tidak dijawab AGC, sehubungan itu Mohd Irwan menghantar permohonan representasi baharu pada Mac lepas.

Pada 24 Okt 2018, Najib, 70, dan Irwan, 66, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada Ipic.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.