Siapa saja menang, rakyat Kedah harap isu air selesai

Siapa saja menang, rakyat Kedah harap isu air selesai

Penduduk mendakwa gangguan bekalan air masih kerap berlaku di luar bandar.

Rakyat kedah berharap masalah gangguan air di beberapa kawasan dapat diatasi dengan kerjasama kerajaan pusat.
SUNGAI PETANI:
Rata-rata penduduk Kedah berharap kerajaan negeri bakal ditubuhkan selepas PRN esok dapat bekerjasama dengan Putrajaya untuk menyelesaikan isu gangguan bekalan air di beberapa kawasan.

Harapan mereka cukup tinggi agar apa jua keputusan di peti undi tidak menghalang pembangunan dan semua pihak mengetepikan ideologi politik untuk kepentingan rakyat.

Perikatan Nasional (PN) dan gabungan Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) akan bertembung di 36 kerusi untuk mendapat mandat daripada rakyat di negeri Darul Aman itu.

Bercakap kepada FMT, Mohd Zamri Ahamad dari Kampung Telok Air, Bukit Kechil berharap masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak 10 tahun lalu di perkampungannya dapat dinoktahkan segera.

Menurutnya, penduduk telah bosan dengan masalah itu yang kritikal ketika musim perayaan apabila ramai perantau balik ke kampung untuk bersama keluarga tersayang.

“Sekarang ini kami guna tangki untuk tadah air, bila waktu malam tekanan air laju sikit, kalau kami tak pakai tangki memang tak ada air.

“Kami tak mahu tunding jari kepada sesiapa, sekarang nampak Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) ada buat kerja tukar paip baharu dan naik taraf loji,” kata peniaga berusia 49 tahun itu yang berharap masalah sama tidak timbul pada masa depan.

Sementara itu, penduduk Kampung Sungai Panjang, Kuala Ketil, Syarikah Yusof, 53, berpendapat rundingan antara Putrajaya dan parti menang PRN harus dilaksanakan segera untuk mengatasi masalah bekalan air.

“Air ini adalah kemudahan asas yang patut dinikmati semua, jadi sila tolak politik dan jangan jadikan rakyat sebagai mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ivan Ikuwan, 43, dari Kampung Sungai Kap, Padang Terap turut berharap masalah itu dapat diselesaikan untuk keselesaan penduduk.

Menurutnya, penduduk di kampung itu pernah terpaksa menggali telaga tiub dan mandi di sungai apabila berlaku gangguan bekalan air.

“Sekarang ini ada lori Sada masuk dua hari sekali untuk menghantar air, jumlah itu mencukupi tetapi kena berjimat cermat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.